Friday, February 13, 2009

ORANG ULU

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on February 11, 2009 3:05 PM

1. Waktu saya kecik lebih kurang 70 tahun dahulu saya sering jumpa orang ulu (bukan suku kaum Sarawak), tapi orang ulu Kedah.

2. Ada yang terdiri daripada adik-beradik Mak saya. Ada Tok Karin (loghat Kedah - Kaghin), Lebak, Din, Mak Chah, Mak Bedah, Mak Doh. Orang pekan anggap orang ulu ini agak kolot dan lekeh. Mereka jalan kaki, naik perahu untuk ke pekan Alor Setar (Aloq Staq). Tak pakai kasut pun.

3. Bahasa mereka juga lain daripada bahasa kami orang pekan. Sesungguhnya mereka tak tahu apa. Bawak buah sikit, padi huma, beras pulut, sebagai buah tangan. Kadang-kadang mereka tidur di rumah tak perlu katil, hampar tikar sudah cukup.

4. Di sekolah Inggeris ramai juga anak orang ulu belajar bersama saya. Mula kekok sikit tetapi cepat faham dan guna bahasa Inggeris. Nampak tak bodoh sangat orang ulu ini. Kadang-kadang lulusan lebih baik daripada anak orang pekan.

5. Saya ke universiti. Budak Melayu tak ramai. Tapi di antara mereka ada juga anak orang ulu, terutama di Fakulti Sastera. Lulus Bachelor of Arts (B.A. - Sarjana Muda Sastera) mereka sertai Kerajaan, ramai di Kementerian Luar. Jadi second secretary (setiausaha kedua), first secretary (setiausaha pertama) dan kemudian jadi duta.

6. Boleh juga cakap orang putih dengan orang putih, anak orang ulu ni. Boleh berhujah dan bergaya sebagai Pak Duta.

7. Sebenarnya ramai anak orang ulu yang belajar sehingga dapat Phd. (Doktor Falsafah) di universiti luar negara kembali jadi pegawai tinggi Kerajaan.

8. Sekarang anak orang pekan pun susah nak kerja di luar negeri. Tak suka cocktail party kerana segan nak bercakap. Orang asing nak cakap bahasa lain, kerap kali guna bahasa Inggeris. Tetapi ini bukan masalah. Yang jadi masalah di cocktail party orang minum arak. Sebab itu pegawai tak suka pergi cocktail party.

9. Yang suka pergi cocktail party pegawai bukan Melayu. Mereka boleh bergaul dengan orang asing, bercakap dengan mereka bukan main fasih lagi, dan sudah tentu minum arak. Tetapi berguna juga mereka kerana mereka dapat dengar dan faham pendapat duta-duta asing.

10. Nampak sekarang sama saja - anak orang ulu atau anak orang pekan. Dulu kedua-dua boleh, sekarang kedua-dua pun tak boleh.

11. Pada pengalaman saya sejak 70-tahun dahulu, anak orang ulu ada kebolehan, tak kolot, tak lah lekeh sangat. Bila diberi peluang boleh buat. Anak kawan saya, Hassan Nawin (orang ulu dalam kelas saya) jadi pilot Boeing 747. Ada yang jadi doktor, pakar bedah, peguam, duta dan macam-macam lagi.

12. Rupa-rupanya mereka tak begitu lekeh. Janganlah perlekeh orang kampung, orang ulu dan orang luar bandar. Mereka boleh, kalau diberi peluang. Kalau tak percaya, buat kajian. Yang pegang jawatan tinggi, yang cakap bahasa Inggeris macam orang Oxford siapa? Ramai juga orang ulu.

13. Saya sendiri tak mimpi jadi doktor. Zaman saya di sekolah, doktor Melayu yang saya tahu hanya Doktor Arif, Pulau Pinang.

14. Tetapi saya dapat peluang, dapat juga lulus sampai jadi doktor. Kita serba boleh. Tetapi kalau orang sekat peluang saya mana saya nak tahu saya boleh atau tidak.

15. Demikian nasib orang Melayu bandar dan luar bandar. Dulu Mat Salleh (orang putih) anggap orang Melayu bodoh, tak boleh pegang jawatan. Sekarang orang Melayu sendiri anggap Melayu kampung bodoh.

16. Hai lah nasib!