Friday, February 11, 2011

KAMPUNG BARU 2

7btc
As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on January 11, 2011 2:05 PM

1. Saya tertarik dengan komen-komen terhadap isu Kampung Baru dalam blog saya.

2. Di antara yang menarik ialah cadangan supaya Kerajaan bangunkan Kampung Melayu moden dengan rumah-rumah kayu Melayu serta dilengkapkan dengan parit dan pokok-pokok.

3. Ia boleh dijadikan satu produk pelancongan untuk menunjuk budaya dan cara hidup orang Melayu dahulu kala.

4. Hanya saya tidak begitu senang jika orang Melayu dan kampung mereka menjadi produk pelancongan. Kita telah hentikan membawa pelancong melihat cara hidup Orang Asli kerana kita hormati mereka sebagai manusia dan bukan pameran muzium.

5. Namun demikian cadangan ini patut ditimbang. Apa pun janganlah kita pamerkan kedaifan orang Melayu dengan rumah robek mereka yang terdapat sekarang di tengah-tengah ibu kota moden kita.

6. Saya tidak setuju sama sekali cadangan Kerajaan memberi subsidi sebanyak 99.9 peratus. Mentaliti subsidi keterlaluan akan menjadikan orang Melayu amat lemah.

7. Di Singapura kampung-kampung Melayu sudah pun dimusnahkan dan orang Melayu ditempatkan di rumah-rumah pangsa supaya mereka hidup tidak lagi dikelilingi oleh kaum dan suku-sakat mereka. Dasar Singapura ialah untuk mengintegrasi semua kaum. Hakikat yang nyata ialah segala bukti usul-asal Singapura sebagai tanah milik Melayu hilang sama sekali.

8. Hari ini Kerajaan Malaysia dianggotai oleh majoriti orang Melayu yang prihatin terhadap nasib orang Melayu. Janganlah kita yakin tidak akan wujud Kerajaan di mana suara wakil Melayu tenggelam hapus. Tanda-tanda ini boleh berlaku sudah pun ternampak.

9. Jika pada masa itu pembaharuan Kampung Baru Kuala Lumpur dirancang, mungkin apa yang terjadi pada kampung Melayu di Singapura akan terjadi kepada Kampung Baru Kuala Lumpur.